Isnin, 24 Jun 2013

Kertas Kerja Cadangan Pembesaran Surau Al Khairiah MRSM P Chepa. Kelantan

 
1.       OBJEKTIF

Tujuan kertas kerja ini diadakan adalah untuk memaklumkan mengenai usaha untuk membesarkan ruang solat di bangunan Surau Al-Khairiah, Maktab Rendah Sains MARA, Pengkalan Chepa.

Kertas kerja ini menjelaskan betapa pentingnya pelaksanaan projek ini dan seterusnya sokongan daripada semua pihak berhubung dengan usaha pengumpulan dana untuk mencapai tujuan tersebut.

2.       LATAR BELAKANG

Sejarah Islam menunjukkan bahawa masjid / surau / musolla memainkan peranan penting sebagai pusat ibadat, pembangunan ilmu, pembinaan keperibadian dan peradaban Islam secara menyeluruh. Kebanyakan pembinaan masjid atau surau pada masa kini adalah disusun atur berhampiran dengan bangunan-bangunan pentadbiran, pusat-pusat perniagaan dan kawasan-kawasan perumahan, sekolah-sekolah di sekitarnya supaya ia menjadi focal point atau arah tuju.

Objektif pembinaan Surau Al-Khairiah adalah untuk memenuhi tuntutan Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah menetapkan surau-surau sekolah bukan sahaja sebagai tempat pelajar menunaikan sembahyang, tetapi lebih daripada itu ia berperanan sebagai “Makmal Pendidikan Rohani”. Melalui semua aktiviti yang berbentuk kurikulum dan ko-kurikulum dapat dilaksanakan di dalam surau sekolah bagi melaksanakan teori-teori yang diajar di dalam bilik darjah dan juga aktiviti-aktiviti pendidikan Islam. Fungsi ini dapat dihuraikan dengan lebih terperinci seperti berikut :
  1. Tempat ibadat sembahyang untuk pelajar-pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah yang beragama Islam
  2. Tempat mengadakan latihan amali mengenai ibadat seperti mengambil wuduk, sembahyang, pengurusan jenazah, amali haji, bersuci dan lain-lain ibadat fardu.
  3. Tempat latihan membaca al-Quran, bertadarus, menghafal dan mengkhatamkan al-Quran
  4. Tempat syarahan, ceramah dan kuliah agama terutama selepas sembahyang maghrib dan subuh bagi sekolah-sekolah berasrama penuh seperti Maktab Rendah Sains MARA Pengkalan Chepa.
  5. Tempat mengadakan majlis-majlis hari kebesaran Islam seperti majlis Maulid Nabi, Maal Hijrah, Isra’ Mikraj dll.
  6. Tempat sembahyang Jumaat jika diperlukan


3.       SURAU AL-KHAIRIAH

Pada peringkat awal penubuhan MRSM, surau kayu dibina untuk memberi ruang kepada pelajar dan guru-guru melaksanakan aktiviti-aktiviti keagamaan. Pada ketika itu surau hanya mampu untuk menampung bilangan jemaah seramai dua ratus orang sahaja. Memandangkan Maktab Rendah Sains MARA saban tahun menerima bilangan pelajar yang agak ramai, maka pada tahun 1990 surau ini telah dinaik taraf ke surau baru. Namun keluasannya hanya boleh memuatkan bilangan jemaah seramai enam ratus lima puluh orang sahaja dalam sesuatu masa. Apabila Maktab Rendah Sains MARA Kota Bharu dinaik taraf kepada Maktab Rendah Sains MARA PKP (Program Khas Pendidikan) pada tahun 1995, secara tidak langsung pengambilan pelajar telah meningkat dari enam ratus lima puluh pelajar kepada tujuh ratus lima puluh pelajar untuk dua tingkatan (empat dan lima). Memandangkan bilangan pelajar yang begitu ramai, keluasan surau sedia ada tidak lagi mampu menampung bilangan jemaah seperti yang sepatutnya.


4.       MAKTAB RENDAH SAINS MARA PENGKALAN CHEPA

Bermula dari awal cadangan pembinaan Maktab Rendah Sains MARA pada tahun 1968, kerajaan telah bersetuju dengan konsep penubuhannya pada tahun 1970, maka pada tahun 1971 MRSM sulung dibina di atas tapak 10 ekar,di Lorong Green, Seremban, Negeri Sembilan dan diberi nama MRSM Seremban.



Pada tahun 1972, MRSM kedua dibina di tapak seluas 17 ekar di Pengkalan Chepa. Sederet bangunan papan sebagai bilik darjah, sederet lagi untuk makmal dan asrama maka lahirlah satu nama dalam senarai institusi pendidikan tanah air, MRSM Kota Bharu.
Berpegang kepada motto 'Berdisplin, Berilmu, Beramal' serta dengan azam kental digenggam, dengan harapan sejuta janji maka menapaklah 149 orang pelajar bersama 20 orang kakitangan pada pertengahan bulan Januari 1973, MRSM Kota Bharu bersama pelajar sulungnya.



Konsep utama MRSM iaitu pendidikan sains dan teknologi diketengahkan, ketakwaan dijana dan keusahawanan disemai.Pelajar-pelajar MRSM ini seterusnya dicanai agar menjadi pelajar serba boleh, berjiwa patriotik, kental dan mampu bersaing pada bila-bila masa dan di mana jua mereka berada.


Pada tahun 1975, dalam masa 2 tahun sahaja persekitaran lopak,kusam berlubang, berbukit bukau dan berpasir, telah berubah wajah apabila bangunan-bangunan siap dibina. Pada ketika itu ia merupakan mercu tanda yang membanggakan pekan Pengkalan Chepa. Pada 12 Ogos 1975, MRSM ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Ke Bawah DYMM Al Sultan Yahya Petra D.K,S.P.M.K.

Kini MRSM Pengkalan Chepa telah berusia 40 tahun.

5.       CADANGAN PEMBESARAN SURAU AL-KHAIRIAH

Berdasarkan kepada perkara-perkara yang disebutkan di atas, cadangan pembesaran Surau al Khairiah ini adalah di atas dua tujuan utama iaitu :

a)      Untuk membolehkan lebih ramai pelajar bersembahyang jemaah dan melaksanakan aktiviti kerohanian setiap hari dengan selesa
b)      Untuk membolehkan aktiviti-aktiviti keagamaan yang disertai oleh bilangan peserta yang melebihi seribu orang jemaah pada satu-satu masa dapat dilaksanakan dengan sempurna dan selesa. Contohnya solat hajat bersama ibu-bapa dan para tetamu.

6.       ANGGARAN KOS DAN JANGKA MASA PEMBINAAN

Fasa 1
 
Adalah dianggarkan pembinaan bangunan baru yang mempunyai ruang solat wanita seluas 2550 kaki persegi ini akan menelan belanja RM 260 ribu hingga RM 300 ribu. Jumlah ini adalah termasuk bayaran khidmat juruperunding (arkitek, jurutera dsbnya), kos merobohkan bangunan sedia ada dan juga kos pentadbiran. Maklumat kerja-kerja di atas seperti berikut :


Bil
Perkara
Kuantiti
Harga (RM)
Jumlah
1
Kerja-kerja awalan serta kerja-kerja meroboh tempat wuduk serta tandas untuk menerima tempat solat baru serta kerja-kerja berkaitan
L. Sum
7000.00
7000.00
2
Kerja-kerja membina dan menyiapkan bangunan tambahan untuk tempat solat serta kerja-kerja bumbung menggunakan “metal decking” serta kerja-kerja yang berkaitan dengannya seperti arahan daripada pihak penguasa
2550kp
70.00
178500.00
3
Kerja-kerja membekal dan memasang jubin jenis homogenous dan kerja-kerja yang berkaitan dengannya
2550kp
9.50
24225.00
4
Kerja membina 2 bangunan tandas baru serta tempat wuduk untuk lelaki dan perempuan serta mengandungi 4 unit tandas seperti di dalam pelan serta kerja-kerja berkaitan
2
25000.00
50000.00
JUMLAH KESELURUHAN
RM 259725.00



Jangka masa pembinaan adalah dianggarkan selama 4 hingga 6 bulan. Dengan memperuntukkan masa 6 bulan untuk menyediakan modal kewangan yang mencukupi untuk kos pembinaan, surau ini dijangka akan dapat digunakan sebelum berakhirnya sesi persekolahan 2014.

7.       RUMUSAN

Dari laporan yang dibentangkan di atas, dapatlah dirumuskan bahawa matlamat utama pembesaran surau al Khairiah adalah untuk memperluaskan kepelbagaian fungsinya sebagai nadi kehidupan harian masyarakat pelajar Maktab Rendah Sains MARA Pengkalan Chepa khususnya dan semua warga pendidik, staf sokongan, ibu-bapa dan tetamu secara umumnya.

Dengan terbinanya bangunan ini, adalah menjadi harapan warga MRSM Pengkalan Chepa, agar kegiatan keagamaan serta peranan surau sebagai makmal kerohanian akan dapat berfungsi dengan lebih teratur dan berkesan. Hasil daripada usaha ini, manfaatnya akan dikecapi oleh semua pihak, sama ada untuk kesenangan kehidupan dunia ataupun nikmat kehidupan akhirat, Insya Allah.

Sumbangan boleh diserahkan melalui Akaun RHB : NO. AKAUN 2-03053-6000945-8 di atas nama TABUNG SURAU MRSM PENGKALAN CHEPA.

YANG BENAR

………………………………………………………….
(SITI FATIMAH BT HASSAN)
PENGERUSI JAWATANKUASA PEMBESARAN SURAU
MERANGKAP,
PENGETUA
MAKTAB RENDAH SAINS MARA
PENGKALAN CHEPA
16100, KOTA BAHARU
KELANTAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan